Search This Blog

Loading...

Ukiran Batu


Sejarah

Terdapat banyak kesan-kesan sejarah yang membuktikan bahawa seni ukiran batu telah lama wujud. Jika disorot kembali, seni ukiran batu merupakan hasil peninggalan sejarah kebudayaan Megalitik atau Zaman Kebudayaan Batu Hidup. Di Semenanjung Tanah Melayu, kesan-kesan awal mengenai kedatangan agama Islam yang dapat dipegang sebagai bukti ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh awal kurun keempat belas. Batu Bersurat tersebut dapat dianggap sebagai satu bahan seni yang terawal dijumpai selepas agama Islam menjadi pegangan hidup orang-orang Melayu. Manakala batu-batu yang berbentuk kasar dan tidak berukir pula digunakan sebagai batu nisan atau kegunaan agama. Penggunaan-penggunaan ini boleh disifatkan sebagai bentuk arca yang awal. Peninggalan warisan ini merupakan karya seni yang tidak ternilai dan menjadi khazanah negara yang terpenting.

Jenis-jenis Batu dan Seni Ukiran

Terdapat pelbagai jenis seni ukiran batu yang menjadi tinggalan warisan pengukir-pengukir masa lampau. Antaranya adalah seperti berikut:

Batu Menhir


Kerja-kerja mengukir batu

Antara batu menhir yang terdapat di Semenanjung ialah sekumpulan batu yang terdapat di Negeri Sembilan yang merupakan hasil manifestasi yang mempunyai sesuatu bentuk. Kumpulan batu menhir berukir ini terdapat di kawasan Keramat Sungai Udang, dekat Pengakalan Kempas, kira-kira 37 km selatan Port Dickson. Batu-batu pejal itu terletak berhampiran dengan makam Syeikh Ahmad Mokhtar, dipercayai dibentuk lebih awal dari batu yang menandakan Keramat Sungai Udang. Yang paling menarik dari segi rupa ialah tiga buah batu berbentuk melengkung, pipih panjang dan berdiri tegak.


Batu Pedang

Batu Pedang yang tinggi sekali berukuran 252 cm tinggi, 66 cm lebar dan 32 cm tebal, digelar batu pedang mempunyai ukiran timbul dengan bentuk dan garis yang melengkuk. Ukiran itu dibuat berasaskan kepada bentuk batu itu sendiri dan disesuaikan dengan sifatnya. Garis-garis yang dinamis tumbuh dari suatu gerak yang berpunca dari sifat asli batu itu dan kemudian hidup keluar ke bahagian batu itu yang besar. Gerak ukiran itu berpunca dari suatu pusat di bahagian tengah batu yang panjang itu. Batu itu merupakan sebuah karya asli arca yang mencapai taraf seni rupa yang tinggi, dengan imbangan yang sesuai antara bentuk, garis dan ruang. Kepekaan pengukir membuat imbangan unsur antara bahagian yang besar dengan yang kecil, serta susunan semukur dan tak semukurnya. Imbangan semukur ini merupakan salah satu sifat manifestasi seni rupa Melayu. Selain itu, batu itu mempunyai sifat sebagai suatu ikon, iaitu objek perantaraan antara manusia dan ruang serta alam sekitar. Di situ dapat disaksikan usaha seni dan daya cipta manusia yang mempunyai kepekaan dan daya kreatif yang luar biasa, setanding dengan hasil-hasil seni dari tempat lain dan dalam zaman yang berbeza.


Ukiran batu

Batu ini mempunyai bahagian yang besar, di kawasan tengah, terdapat bentuk-bentuk bulat, lengkuk berpusar dan bentuk-bentuk simbolis yang lain, yang menyerupai tubuh manusia, seakan-akan muka dan bahagian tubuh yang lain. Di bahagian bawahnya pula terdapat seekor naga bertelinga dua, manakala di sebelah tepi terdapat ukiran sebagai hiasan penyudah arca yang bersusun dan berulang-ulang dengan variasi. Antaranya ada yang berupa seperti ombak. Di bahagian atas, bentuknya berirama memberi implikasi gerak menolak ke atas menghala ke luar. Suatu bentuk yang melengkuk panjang. Melintangi arca, menyambung dua bahagian pinggir, di sebelah atas bentuk bulatan. Perkataan 'Allah" mengunakan tulisan kufi tegak diukir secara timbul di dalam ruang di atasnya. Cara huruf itu diukir sama dengan bahagian lainnya.

Bentuk tulisan itu pula berbeza daripada bentuk tulisan yang terukir pada batu di kubur Syeikh Ahmad Mokhtar Ramli ibni Marfu Talani meninggal dunia pada tahun 873. Bentuk tulisannya mempunyai sifat gerak dinamis yang sama dengan gerak yang terdapat pada ukiran Batu Pedang. Gaya tulisannya tersendiri dan sama dengan bentuk ukiran pada Batu Pedang terletak di bahagian pinggirannya. Bentuk tulisan dan gaya ukiran itu tidak terdapat di tempat lain atau di rantau ini, dan tidak menunjukkan pengaruh seni rupa dari budaya lain. Ukiran pada Batu Pedang itu ialah satu hasil pernyataan aliran ekspresionisme yang tersendiri yang menunjukkan jiwa cipta yang bebas, yang tidak mengikut bentuk ukiran kumpulan, seperti yang lazim terdapat pada hasil pernyataan kesukuan atau ukiran mengikut tradisi, seperti yang terdapat pada batu-batu nisan di beberapa tempat di Semenanjung.

Batu Kemudi


Batu yang dinamakan batu kemudi ini berukuran 189 cm, tinggi 112 cm dan 39 cm tebal, diukir dengan cara yang sama dengan Batu Pedang, iaitu ukiran timbul. Ukiran pada batu ini menunjukkan suatu pemandangan yang mengandungi tumbuh-tumbuhan yang seolah-olah tumbuh di bahagian bukit. Terdapat juga ukiran kuda dan seekor binatang, seakan-akan kijang dan harimau. Bentuk-bentuk itu tersusun dengan imbangan yang sama, dalam ruang datar seperti dalam lukisan. Ini merupakan hasil seni rupa yang paling awal, yang menonjolkan konsep pemandangan di antara jenis-jenis rupa yang lain. Satu lagi aspek yang menarik ialah susunan batu-batu itu, yang mempunyai hubungan ruang di antara satu dengan lain.

Batu Sudu


Batu sudu berukuran 201 cm tinggi, 95 cm lebar, 28 cm tebal, terletak di tengah-tengah tanpa ukiran memberi imbangan kepada dua kumpulan kegiatan seni rupa Melayu asli yang mencapai taraf yang paling tinggi sebagai lambang jiwa bangsa.

Batu Nisan


Batu Nisan sejenis ukiran batu yang berbentuk tegak dan kaya dengan variasi. Antara batu nisan yang kaya dengan daya cipta ialah Batu Acheh yang terdapat di beberapa kawasan perkuburan di Semenanjung Malaysia. Bahan batu Acheh itu berasal dari Acheh, kebanyakannya digunakan untuk makam-makam diraja dan orang-orang besar. Batu jenis ini mula digunakan di Semenanjung pada abad ke-15 hingga ke-19 Masehi. Batu tersebut mempunyai berbagai-bagai bentuk iaitu pipih, persegi empat, persegi enam, persegi lapan, dan bulat. Bentuknya terdiri daripada bahagian asas, badan, bahu, dan kepala dan antaranya mempunyai bentuk seperti tanduk. Pada bahagian yang datar terdapat panel yang mengandungi ayat-ayat suci, dua kalimah syahadat dan sebagainya. Ayat-ayat itu diukir dengan tulisan kufi, thuluth dan dua jenis tulisan yang lain.



Hiasannya pula mengandungi corak tumpul, bulatan, bunga sulur, dan sebagainya. Kesemuanya dengan cara abstrak. Kebanyakannya mempunyai bahagian kepala yang berpuncak seperti bunga teratai kuncup. Apa yang menarik ialah sebilangan besar batu itu mempunyai reka bentuk yang indah dan aneka kemahiran mengukir bagi penggunaan bahan dengan peka. Boleh dikatakan beberapa buah batu Acheh mencapai tahap seni reka yang tinggi dalam seni rupa Melayu di Semenanjung.

Antara contoh ketinggian seni rupa ini terdapat bpada batu nisan makam Almarhum Sultan Mahmud Syah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Syah yang mangkat pada 1699 M di Kota Tinggi, Johor. Batu Nisan ini menunjukkan pernyataan formal dengan gabungan bentuk persegi empat, rata dan melengkung dengan unsur-unsur berbentuk sulur bayung. Batu nisan yang berbentuk persegi lapan kelihatan bersuasana teneram, berbanding dengan garis gerak yang terdapat pada nisan Sultan Mahmud. Sebuah batu nisan di makam Bendahara tun Habib, Kota Tinggi (1700 M), menunjukkan ukiran yang halus, dengan kemahiran pertukangan menyerupai pertukangan seni logam dengan motif-motif garis bentuk sulur yang abstrak. Ukiran hiasan pada permukaan batu nisan itut bergerak jalin dan bertindih lapis menyerupai gerak pertumbuhan pokok.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails