Search This Blog

Loading...

Seni Tekat

Pengenalan

Seni tekat termasuk dalam jenis tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Tekat menekat ini juga disebut 'sulaman timbul' atau 'suji timbul'. Asal usul penciptaan dan penggunaan tekstil tekat dianggarkan sama dengan penggunaan tekstil songket berdasarkan kepada bahan asasnya iaitu benang emas, kain baldu dan juga rupabentuk ciptaannya. Di Malaysia, pusat-pusat seni tekat berkembang di negeri Perak, Pahang dan Johor.

Motif dan Rupabentuk


Tekat bermotifkan flora


Motif tumbuh-tumbuhan dan motif geometri. Rupabentuk tekatan terbahagi kepada dua iaitu dua dimensi dan tiga dimensi. Rupabentuk dua dimensi ialah seperti tikar, kipas dan penyangkut kelambu, selempang dan tetampan (Lapik dulang). Rupabentuk tiga dimensi pula seperti tepak sirih, sarung bantal, kusyen, kasut dan tudung saji. Tudung saji dibentuk tiga segi (kon) berongga. Bahagian yang dihias ialah bahagian luar dari puncak hingga ke tapaknya. Acuannya dibuat daripada daun nipah atau rumbia yang diikat dengan rotan atau buluh.

Proses Pembuatan


Jahitan Tekat Selayah


Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan bentuk sulaman timbul.

  • Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 cm dan 0.25 cm. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.
  • Seterusnya kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada rekabentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu baldu akan menjadi tegang.
  • Selepas itu benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentasbenang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.
  • Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci.


Penggunaan

Ciptaannya merupakan pakaian dan bahan kelengkapan dan wujud serta berkembang di istana. Alatan yang dihiasi dengan tekat emas merupakan alat istana. Beberapa rupabentuk tekat dicipta digunakan sebagai bahan atau alat seharian, juga pakaian rasmi sultan. Seni tekat telah berkembang kepada masyarakat luar istana dan dilakukan sebagai kraftangan sambilan. Malah kerana kerjanya yang harus berhati-hati dan memakan waktu yang lama untuk menyiapkannya, maka ia dibuat beransur-ansur apabila diperlukan. Misalnya bagi gadis-gadis yang telah bertunang akan menyediakannya sendiri secara berperingkat-peringkat alat-alat perkahwinannya dengan tekat, sebagai hiasan pelamin, sarung bantal, alas tempat tidur, kipas, kasut dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, fungsi tekat masih terbatas. Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah. Penciptaannnya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang dekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails