Search This Blog

Loading...

Kain Pua Sarawak

Kain pua yang juga dikenali sebagai kain pua kumbu bermaksud kain selimut atau kain penutup. Kain ini dianggap mistik bagi kaum Iban dan dipercayai dapat menyembuh orang sakit dan merupakan perisai kepada kuasa jahat.

Melihat daripada corak dan motif-motif pada kain pua, terfikir bagaimana rumitnya penenun dapat mengikat benang -benang loseng dengan penuh cermat dan kemas. Penenun perlu mengikat motif-motif pada benang loseng seperti fauna dan flora serta bentuk-bentuk geometrik yang mempunyai makna yang tersendiri.

Benang loseng yang telah diikat, kemudian dicelupkan beberapa kali mengikut warna yang diproses daripada warna alam. Benang loseng yang telah diwarnakan, akan dimasukan ke dalam alat tenun untuk di tenun benang pakan satu warna.

Kain pua dihasilkan dengan saiz yang berbeza. Ukurannya terpulang pada saiz alat tenun yang digunakan secara tegang belakang oleh penenun Iban.

Menenun sehelai kain pua yang berukuran lebih kurang 186 sentimeter x 45 sentimeter, mengambil masa antara dua puluh hingga tiga puluh hari untuk menyiapkannya.

Motif atau corak pada kain tenun pua diilhamkan oleh penenun-penenun mahir. Corak-corak yang rumit dan kompleks biasanya lahir daripada ilham mimpi. Ia juga datang daripada inspirasi alam sekitar dan gambaran kepercayaan serta nilai orang Iban.

Motif-motif pada kain pua sangat menarik dan warna yang digunakan tidak terlalu banyak. Warna yang popular dalam kain pua adalah warna merah tua, merah terang, hitam, putih dan kelabu.

Contoh motif-motif berbentuk fauna yang digunakan seperti pacat, lintah, buaya, cicak, lipan, kala jengking, burung, ular dan banyak lagi.

Dalam buku Rekacorak Tekstil Malaysia Dulu dan Kini, menyatakan motif-motif fauna ini mempunyai lambang dan maknanya tersendiri.


TEKNIK ikat dalam proses menenun pua kumbu.


Contohnya, motif burung melambangkan usaha yang mendatangkan kebaikan. Motif tikus dan harimau dipercayai dapat memberi sifat kekuatan, ketegasan dan berani.

Selain itu motif yang berbentuk tumbuh-tumbuhan seperti daun paku-pakis, pucuk rebung dan rotan yang telah diubah dan motifnya diulang sehingga memenuhi seluruh kain pua.

Motif figura manusia yang dikenali sebagai engkaramba, berbentuk muka orang terperanjat, dipercayai dapat menahan kuasa jahat.

Motif ini juga menjadi azimat untuk melindungi seseorang daripada ancaman luar dan ia dipercayai dapat menguntungkan dalam hasil tuaian.

Motif engkaramba sebenarnya mewakili dewa-dewi daripada mitos dan legenda yang terdapat di kalangan orang Iban. Motif seperti ini hanya boleh ditenun oleh para isteri dan anak kepada ketua masyarakat yang telah diwarisi kemahiran daripada nenek moyang kaum masing-masing.

Sementara corak pua yang lain biasanya dijadikan pakaian tradisional seperti bidang (skirt) bagi pakaian wanita dan kelambi (jaket) serta kain sirat (cawat) bagi kaum lelaki.

Sebenarnya rekaan yang ditenun oleh kaum Iban sangat bermakna, kita sebagai orang biasa tidak memahami sepenuhnya apa ertinya motif-motif yang ditenun.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails