Search This Blog

Loading...

Ukiran Perak




Seni ukiran perak merupakan salah satu daripada cabang kesenian orang Melayu yang amat terkenal di Negeri Kelantan. Kesenian perak ini dikatakan adalah agak baru jika dibandingkan dengan kesenian-kesenian ukiran yang lain. Kemahiran bertukang orang Melayu dipercayai memang sudah ada sejak zaman berzaman lagi, iaitu hasil pengaruh tamadun 'Hindu' yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti tembaga dan emas. Dengan ini, perusahaan barang-barang perak ada kaitan rapat dengan bidang perusahaan emas dan tembaga kerana terdapat persamaan dari segi pembuatannya. Dari segi sejarah, didapati manusia mula menggunakan wang perak pada zaman 800SM dan sejarah ukiran perak di Kepulauan Melayu pula muncul sejak dari zaman Sri Vijaya lagi dan terus berkembang hingga ke daerah-daerah lain di nusantara. Ukiran perak seterusnya telah berkembang ke tahap industri kampung atau ‘cottage industry’ apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu pada abad ke 18 dan memajukan perusahaan ini.

REKA CORAK & MOTIF
Seni ukiran perak mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan bukan pada seni rupa atau rekabentuk sesuatu ciptaan itu sahaja, tetapi juga pada pengolahan satu-satu motif dalam rekacorak awan larat dan falsafah yang terselindung di sebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta awan larat. Rekacorak dalam pertukangan perak merupakan ciri terpenting yang dikira dapat membezakan di antara rekacorak Melayu tradisi dengan rekacorak masyarakat lain di samping dapat menghuraikan segala aspek yang tertentu terhadap sejarah dan perkembangannya.

Motif dalam seni ukiran perak terbahagi kepada tiga iaitu motif bunga-bungaan, motif tumbuh-tumbuhan dan binatang.

Motif Bunga-bungaan Jenis-jenis bunga yang selalu dijadikan motif dalam rekacorak pertukangan perak ialah:
  • Bunga Mawar
  • Bunga Mentari
  • Bunga Padi
  • Bunga Kiambang
  • Bunga Senduduk
  • Bunga Teratai
  • Bunga Dahlia
  • Bunga Langsat
  • Bunga Orkid
  • Bunga Kelambu
  • Bunga Manggis
  • Bunga Melur
  • Bunga Raya
  • Bunga Baling
MOTIF FLORA
Tukang-tukang perak Melayu menggunakan alam tumbuhan yang dilihat dalam alam sekelilingnya sebagai sebagai asas untuk menghasilkan satu rekacorak. Tumbuhan-tumbuhan yang biasa digunakan adalah dari kumpulan yang hidup menjalar dan boleh dijadikan sayur atau ulam seperti, Daun Sembung Bidadari Pucuk Kangkung Daun Dalur Pucuk Paku Daun Sekati Lima Sulur Kacang Botol Daun Labu Sulur Kacang Panjang Daun Kundur Buah Cili Pucuk Petola

MOTIF FAUNA

Kadang-kadang terdapat juga motif-motif rekacorak yang menggunakan bentuk-bentuk haiwan. Bagaimanapun motif-motif seperti ini tidaklah digambarkan dalam bentuk yang nyata. Kebanyakan bentuk binatang yang digunakan dalam rekacorak ukiran perak masyarakat Melayu ialah binatang ternakan seperti ayam dan burung. Disamping motif binatang terdapat juga motif serangga dalam rekacorak pertukangan perak ini.

Motif-motif binatang yang biasa digunakan ialah ; Gajah Burung Kuda Jari Lipan Ikan Belanak Rama-rama Patung-patung Kumbang Lalat/lebah


PROSES PEMBUATAN
Proses membuat barang perak berbeza-beza, bergantung samada barang yang hendak dihasilkan itu kasar (besar) atau perhiasan halus. Barang kasar merangkumi kendi, tepak sirih, kaki lilin dan kotak borang kemas, cucuk sanggul, kerongsang, pin baju dan sebagainya. Manakala barang perhiasan termasuk cincin, gelang, rantai dan sumpamanya.

Prosesnya adalah seperti berikut;
Proses melebur adalah peringkat awal dalam kerja pertukangan perak. Perak mentah, berbentuk butir atau biji akan dipanaskan hingga cair atau di dalam acuan khas yang diperbuat besi penuang. Perak cair pada suhu 96 darjah celcius.

Perak yang cair itu dituang ke dalam acuan besi menuang. Besi menuang mempunyai dua bentuk iaitu yang berbentuk leper bagaikan pinggan dan yang membentuk dawai kasar.
Proses yang paling rumit dalam pertukangan perak ialah proses pembentukan barang yang ingin dihasilkan, daripada kepingan, atau dawai atau gabungan kedua-duanya. Bentuk barang itu hendaklah seimbang dan rata atau melengkung dengan tekal. Jika barang peranggu (set) yang dihasilkan, barang-barang yang sepatutnya sama besar mestilah sama besar.

Untuk barang kasar, pertama, tukang perak membuat pasolan iaitu rangka barang itu dengan ukuran seperti yang dikehendaki. Pasolan dibuat daripada zink nipis atau kertas tebal. Kemudian, perak leper daripada acuan diketuk di atas andas kayu yang rata, berlubang atau berbonggol. Seringkali dua atau tiga kayu andas diperlukan untuk mendapatkan sesuatu bentuk yang direka. Barang kasar jarang yang dapat dibentuk daripada cuma sekeping perak, biasanya beberapa bahagian diperlukan. Bahagian-bahagian itu dibentuk secara berasingan dan kemudian dicantum dengan pateri. Sebelum dipateri, bahagian-bahagian itu dibersihkan daripada kotoran, terutama minyak yang boleh menjejaskan cantuman. Untuk barang perhiasan halus, tukang lebih sebabg bekerja dengan perak dawai. Penggunaan dawai juga mengurangkan kemungkinan pembaziran kerana perak logam yang mahal.

Barang kasar yang telah siap dibentuk, dikemaskan dengan corak hiasan dengan menggunakan 'teknik pahat' atau 'teknik tebuk' (gergaji). Kemudian barang itu dicuci dengan besi penggosok, dikikir dengan kikir halus dan dipelas dengan kertas pasir.

Proses yang terakhir ialah proses menggilap. Barang-barang perak digilap dengan menggunakan air sabun dan berus dawai tembaga halus untuk menghapuskan kekotoran yang berminyak dan seterusnya menyerikan barang itu. Banyak barang kraftangan perak dihasilkan atas tempahan khusus.


PENGGUNAAN
Pada zaman dahulu, golongan bangsawan dan pembesar negeri adalah golongan yang paling banyak membuat tempahan. Tetapi, sekarang tempat mereka telah diambil alih oleh usahawan di sektor pelancongan, terutama pengusaha perhotelan. Dengan perubahan gaya hidup masyarakat di negara ini, selera pengguna juga berubah. Kini kraftangan perak telah dipelbagaikan kegunaannya. Banyak yang dijadikan cenderamata tetapi tidak kurang juga yang mempunyai kegunaan walaupun berbentuk perhiasan. Contohnya, penyangkut kelambu, cangkir, pinggan peranggu, kaki lilin, bekas abu rokok dan juga perhiasan diri seperti gelang dan rantai.

1 comments:

w a n said...

bukan info ni yg di keluarkan oleh perpustakaan negara pd 2000 ke?? http://malaysiana.pnm.my/04/0413ukir_logam.htm

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails